
CHEMBONG - Kemalangan motosikal yang menimpa seorang penduduk di Kampung Air Itam/Masjid Tanah Chembong beberapa hari lalu menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan penduduk.
Penduduk, Hafiz Hashim, 56, berkata, walaupun kecederaan penduduk terbabit tidak parah tetapi kejadian kali ini perlu diambil perhatian pihak berkenaan terutama masalah jalan di kampung itu yang berlubang.
Menurutnya, masalah jalan berlubang bukanlah perkara baru kerana ia telah dimaklumkan kepada pihak berkenaan supaya mengambil tindakan segera membaik pulih dengan menaik taraf semula laluan terbabit.
“Sekurang-kurangnya usaha menaik taraf jalan atau menutup lubang dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan kerana kebanyakan jalan di sini berlubang teruk dan berlopak.
“Jalan ini juga sering digunakan orang ramai terutama penduduk untuk menghantar anak ke sekolah berhampiran iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sedia Raja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Hafiz berkata, ia juga adalah jalan keluar penduduk untuk ke Chembong, Pekan Rembau mahupun Seremban.
“Buat masa ini, ada projek menaik taraf jalan di sebahagian jalan kampung ini tetapi jika boleh, kami memohon kepada pihak berkenaan supaya menaik taraf semua jalan di sini.
“Jika penduduk tidak berhati-hati, kemungkinan mereka akan ditimpa bahaya kerana risiko tinggi terutama penunggang motosikal. Mereka mungkin melanggar lubang jika tidak nampak kerosakan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, keadaan lebih bahaya pada waktu malam kerana gelap.
“Pihak berkenaan harus memandang serius masalah ini dan membaiki segera kerosakan jalan di sini bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8343205.asp





