Sinar Harian 30 Nov 09
LUBOK
Raja Hashim Raja Ismail, 53, berkata, dia tidak pernah menjadikan kecacatan dialami akibat kemalangan 26 tahun lalu sebagai penghalang untuk menjalankan tanggungjawab menjaga keluarga.
Berbekalkan semangat tinggi dan minat, dia mula aktif dalam menjalankan projek pasir itu pada penghujung 1999. Namun, disebabkan gagal memperbaharui permit berkenaan, projek diusahakan terpaksa dihentikan hampir setahun lalu.
“Saya kecewa kerana punca rezeki saya kini tersekat. Masalah ini diajukan kepada banyak pihak berkaitan namun sehingga kini tiada jawapan menyakinkan dan boleh menenangkan saya,” katanya ketika ditemui di Rumah Rakyat Lubok
Katanya, dia tidak sempurna seperti manusia normal lain, tetapi dia masih mampu bekerja walaupun tidak berupaya menggunakan tulang empat keratnya.
“Jangan pandang rendah golongan seperti saya. Saya memiliki matlamat untuk memajukan diri. Untuk itu, beri ruang kepada saya meneruskan perniagaan saya bina sebelum ini,” katanya menggunakan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan.
Selain itu, dia turut meluahkan rasa kesal kerana sehingga kini dia gagal mendapat baki insurans akibat kemalangan lepas. Satu persatu masalah menimpa ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
“Saya tidak tahu sampai bila harus menunggu kerana banyak kali saya membawa masalah ini ke peringkat berkaitan tetapi tiada perubahan. Penantian ini ibarat penyeksaan,” katanya mendapat pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia.
Menurutnya, keprihatinan semua pihak diharapkan untuk menyelesaikan kekusutan dialami bersesuaian slogan 1Malaysia ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.



