
Penduduk di sini tidak pernah membantah sekiranya pembangunan dilakukan untuk memberikan keselesaan kepada mereka namun apa yang disuarakan hanyalah mahu ia dilakukan dengan cara yang tidak mengetepikan keselamatan penduduk. Mungkin pihak bertanggungjawab terlepas pandang melihat hal ini, menyebabkan saban hari penduduk di sini terpaksa berdepan dengan debu dan habuk hasil daripada projek penambahbaikan landasan berkembar kereta api yang sedang giat dijalankan.
Keadaan yang terus menghantui penduduk di sini menyebabkan hidup mereka tidak tenteram tambahan pula ada ahli keluarga menghidap penyakit alahan akibat daripada debu dan habuk projek berkenaan.
REMBAU- “Kami tidak tolak pembangunan tetapi jangan sampai mengabaikan tahap keselamatan kami semua”.
Itulah antara rintihan penduduk di sekitar daerah ini yang terpaksa berdepan masalah habuk dan debu tanah setiap hari.
Masalah itu timbul disebabkan projek penambahbaikan landasan berkembar kereta api sedang giat dijalankan.
Penduduk, Turiman Samsuri, 50, dari Kampung Jawa, Gadong berkata, dia kesal dengan tindakan kontraktor yang seolah-olah mengabaikan tanggungjawab berkenaan keselamatan dan kesihatan penduduk.
Menurutnya, kekerapan lori keluar masuk membawa muatan tanah menyebabkan tanah bertaburan di atas jalan dan habuk berterbangan hingga mengganggu ketenteraman penduduk yang tinggal berdekatan projek itu.
“Setiap hari kami terpaksa menyedut habuk tanah. Di luar dan dalam rumah melekat dengan habuk dan setiap hari kami terpaksa menutup tingkap rumah bagi mengelakkan debu berterbangan memasuki rumah.
“Tambahan sekarang musim perayaan, tak kan kita hendak tutup rumah. Cubalah fikir keadaan kami dan jangan sesekali mementingkan diri tanpa mengambil kira faktor lain,” katanya.
Turiman berkata, pihak bertanggungjawab perlu memantau keadaan itu sebelum keadaan bertambah parah.
“Sepatutnya masalah ini tidak berlaku jika pihak kontraktor mengutamakan keselamatan penduduk.
“Seharusnya ada ‘washing bay’ yang bertindak membersihkan tayar secara automatik atau tugaskan kakitangan menyembur air untuk membersihkan tayar. Paling tidak pun, kerja pembersihan seperti menyodok tanah di tepi jalan yang jatuh bertaburan perlu dilakukan,” katanya.
Katanya, ibu dan anaknya yang mengidap asma menjadikan keadaan mereka bertambah teruk kerana habuk dan debu datang tidak tentu masa.
“Keadaan ini jika berterusan tanpa langkah pencegahan segera dikhuatiri mendatangkan kesan lebih buruk kepada penduduk yang mengalami masalah kesihatan,” katanya.
Harun Yahya, 59, dari Taman Rembau Utama turut mengalami masalah yang sama berkata, dia sudah tidak tahan lagi dengan keadaan debu dan habuk yang terpaksa disedut setiap hari kerana jarak rumah dengan kawasan projek hanya kira-kira 20 meter.
“Saya ini bukannya sihat kerana menghidap sakit jantung. Kadangkala saya jadi sesak nafas sebab habuk dan debu ini.
“Saya ini bukannya kuat hendak melawan semua penyakit apatah lagi anak saya turut mengalami alahan terhadap habuk dan debu ini,” katanya.
Harun berkata, pihak kontraktor sepatutnya meletakkan perangkap habuk atau pengadang bagi menghalang habuk dan debu berterbangan ke kawasan perumahan.
“Kekerapan lori air untuk membersihkan tayar yang terlekat dengan tanah juga diperlukan.
“Lori air perlu diletakkan lebih dari satu dan jangan jadikan alasan kekurangan lori sebab terpaksa menampung projek lain sedangkan kami di sini sudah tidak tahan dengan debu dan habuk,” katanya.
Dia turut melahirkan rasa bimbang apabila kebanyakan lori yang melalui kawasan perumahan tersebut dipandu laju dan jika tidak diambil tindakan segera tidak mustahil kejadian tidak diingini berlaku di sini.
“Jangan sampai perkara buruk berlaku barulah kita sedar dan mahu ambil tindakan. Kawasan perumahan di sini banyak kenderaan keluar masuk.
“Jentera berat yang keluar masuk juga menyebabkan keadaan jalan raya bertambah rosak, berlubang dan pecah. Keadaan boleh membahayakan penduduk yang melalui kawasan ini,” katanya.
Menurutnya, masalah itu pernah diutarakan kepada kontraktor yang bertanggungjawab berkenaan hal keselamatan namun tiada tindakan drastik yang boleh melegakan hati penduduk.
“Saya sangat berharap mereka lebih prihatin dengan nasib penduduk dan tidak melepaskan tanggungjawab semata-mata untuk kepentingan satu pihak sahaja sedangkan penduduk terpaksa menderita.
“Tindakan segera perlu diambil supaya penduduk tidak merasai kesengsaraan akibat pembangunan yang giat dijalankan tetapi nikmat pembangunan ini perlu dikongsi bersama dengan tidak mengetepikan soal keselamatan dan tahap kesihatan penduduk,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5171106.asp




