Ahad, 6 Januari 2013
Ubah suai jadi van jenazah
5 Januari 2013
PEDAS – Berikutan kesukaran untuk
mendapatkan van jenazah, seorang penduduk di sini, tekad menyediakan
kemudahan itu kegunaan penduduk di sekitarnya.
Sahat Kachat, 61, berkata, sekitar lima
tahun lalu, hanya satu unit sahaja van jenazah disediakan di Pejabat
Daerah.
Menurutnya, mujurlah terdapat rakan
sekampung yang membuka perniagaan Nash Auto menyumbangkan sebuah van
kepadanya untuk dijadikan sebagai van jenazah.
“Pakcik bukan kejar untung, tapi pak
cik rasa soal fardu kifayah ini tidak boleh dibuat main dan sebagai
penduduk pak cik sanggup ambil tanggungjawab menyediakan van jenazah
sendiri,” katanya ketika ditemui di Surau Pedas Hilir, dekat sini,
baru-baru ini.
Sahat atau lebih dikenali oleh penduduk
kampung sebagai Haji Nasir berkata, pada peringkat awal, dia
mengeluarkan modal kira-kira RM5,000 untuk mengubahsuai keadaan dalam
van jenazah itu iaitu bagi meletakkan peti mayat dan tempat duduk di
kiri dan kanan bahagian belakang.
“Sebelum ini, pakcik bekerja sebagai
pemandu teksi selama 36 tahun. Kini, pakcik dan anak, Mohamad Jeffry
Sahat, 35, sedia menawarkan perkhidmatan van jenazah kepada mana-mana
pihak,” katanya.
Haji Nasir berkata, jika lima tahun
sebelum ini, perkhidmatan van jenazah sukar untuk diperoleh susulan
ianya hanya disediakan satu unit sahaja dan kini ianya semakin
berkembang susulan peningkatan kesedaran syarikat tertentu untuk
menyumbang kemudahan berkenaan kepada pihak masjid mahupun surau.
“Alhamdulillah, kini pakcik berasa
lega kerana akhirnya tanggungjawab fardu kifayah ini dapat
dilaksanakan dengan lebih baik. Malah, sepanjang lebih lima tahun ini
sudah lebih 200 kali pakcik menghantar jenazah.
“Pak cik tidak mengenakan kadar yang
tinggi iaitu hanya RM50 bagi penduduk di sekitar Pedas dan Pekan
Rembau. Bagaimanapun, bagi kawasan di luar pula, kadar lain bakal
dikenakan," katanya.
Katanya, walaupun kadangkala ianya
tidak berbaloi kerana kos minyak dan penyelenggaraan, namun dia tetap
juga berasa lega kerana turut sama menyediakan kemudahan fardu
kifayah berkenaan kepada komuniti setempat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan