
Sinar Harian 26 Mei 2011
REMBAU – Sepasang suami isteri melahirkan rasa syukur dan gembira apabila Perodua Kembara milik mereka yang dicuri di perkarangan rumah pagi Isnin lalu telah berjaya dijumpai pihak polis dalam tempoh masa kurang 24 jam dilaporkan.
Walau bagaimanapun penemuan berkenaan tidak berjaya menutup perasaan takut dan bimbang pasangan terbabit, Mohd Nawi Mohd Yusoff, 68, dan Habsah Azizul Rahman, 63, apabila kediaman mereka adalah antara 10 kediaman di perkampungan di situ yang menjadi sasaran pencuri dalam tempoh masa tiga bulan.
Mohd Nawi berkata, sememangnya pihak polis giat melaksanakan rondaan di kawasan berkenaan berikutan ia adalah kawasan panas berdasarkan beberapa insiden cubaan pecah rumah dan juga rompakan, namun penduduk tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak polis dalam mengatasi masalah berkenaan.
“Malah, ada dalam kalangan kami terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan melaksanakan rondaan pada masa-masa tertentu mengikut giliran sedangkan ia sebenarnya boleh dilaksanakan secara lebih efektif lagi melalui kerjasama daripada pentadbiran di peringkat kampung.
“Oleh itu, saya gesa pihak pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk berbincang dengan penduduk mengenai masalah ini dan dalam masa terdekat dapat mewujudkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi memastikan rondaan dapat dibuat dengan kaedah yang lebih tepat lagi,” katanya ketika ditemui di kediamannya, kelmarin.
Sementara itu, Habsah berkata, kecurian berlaku awal pagi semasa mereka sedang tidur dan hanya disedari kira-kira jam 5.30 pagi ketika suaminya ingin membuka pintu pagar rumah seperti kebiasaannya.
Menurutnya, suaminya mendapati pintu pagar berkenaan telah terbuka dan kereta milik mereka juga sudah tiada di garaj.
“Laporan polis telah dibuat pada hari sama dan pasukan polis telah berjaya menjumpai kereta kami yang ditinggalkan di Jirat Perkuburan Cina Johol, Kuala Pilah.
“Oleh itu, kita harap agar pihak pentadbiran kampung dapat memikirkan kaedah yang lebih efektif dalam mengatasi masalah kecurian dan pecah rumah di sini melalui penubuhan SRS bagi kebaikan serta manfaat penduduk kampung sendiri,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9125846.asp










