Berita Harian 6 Ogos 2010
Persimpangan di tiga taman perumahan tiada lampu isyarat, sering nahas
SENAWANG: Kedudukan dua persimpangan yang terletak berhampiran antara satu sama lain di depan tiga taman perumahan iaitu Taman Anggerik, Taman Desa Dahlia dan Taman Alamanda Senawang di sini, mendedahkan orang ramai kepada kemalangan. Ini kerana kedudukan dua persimpangan dengan satunya menjadi laluan masuk ke Taman Anggerik dan satu lagi ke Taman Desa Dahlia terletak terlalu hampir antara satu sama lain. Pada masa sama, persimpangan itu juga didakwa menjadi tempat pusingan-U bagi kenderaan dari kedua-dua hala dan lebih memburukkan keadaan, tiada lampu isyarat dipasang di kawasan berkenaan.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Taman Anggerik, Mohamad Rosli Jamil, 50, berkata keadaan itu membuatkan laluan kenderaan di situ sentiasa kelam kabut.
Beliau mendakwa, sejak Januari hingga kini, kira-kira 10 kemalangan berlaku di kawasan simpang berkenaan, termasuk satu kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal akibat dirempuh sebuah kereta.
Katanya, tidak kurang 500 pengguna menggunakan kedua-dua persimpangan berkenaan terutama penduduk dari ketiga-tiga taman perumahan terbabit yang keluar masuk setiap hari.
“Laluan kedua-dua hala itu sememangnya sibuk setiap hari terutama pada waktu puncak antara jam 7 pagi hingga 9 pagi dan 4 petang hingga 7 petang.
“Ia bukan saja digunakan oleh penduduk dari ketiga-tiga taman perumahan berkenaan malah menjadi penghubung kepada beberapa taman lain di kawasan berhampiran, antaranya Taman Bandar Senawang, Taman Kobena dan Taman Teratai,” katanya kepada Berita Harian.
Katanya, keadaan menjadi lebih serius apabila ada segelintir pemandu kenderaan berat yang sesuka hati meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan utama itu hingga menyebabkan pandangan pemandu lain terjejas.
Mohamad Rosli berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai terutama penduduk dari ketiga-tiga taman terbabit yang melahirkan kebimbangan kerana sering berlaku kemalangan di situ.
Beliau berkata, susulan daripada masalah yang berlaku sejak tiga tahun lalu itu, pihaknya sudah mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tahun lalu bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil, namun belum ada sebarang penyelesaian sehingga kini.
Penduduk Taman Desa Dahlia, Azmi Ahmad, 36, berharap tindakan sewajarnya diambil pihak berkuasa bagi mengelak lebih banyak kemalangan berlaku di kawasan berkenaan.
“Saya berharap pihak terbabit dapat memantau sendiri situasi di persimpangan itu supaya satu tindakan sewajarnya dapat diambil demi kepentingan orang ramai dan pengguna laluan itu,” katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Simpangmaut/Article