
Sinar Harian 30 Julai 2010
SUNGAI TIMUN, Rembau - Ahli Persatuan Nelayan Sungai Timun melahirkan rasa tidak puas hati berkenaan projek menaik taraf kawasan teduhan kedua berikutan timbul beberapa masalah sehingga mengganggu aktiviti harian nelayan.
Pemangku Sementara Persatuan Nelayan Sungai Timun, Yahaya Othman berkata, teduhan kedua dibina disebabkan jumlah bot nelayan semakin bertambah. Teduhan berbumbung itu berfungsi sebagai tempat meletak bot nelayan dan mengelakkan bot ditenggelami air terutama ketika hujan lebat.
Menurutnya, masalah wujud apabila teduhan kedua baru siap sebulan lalu didakwa tidak bersesuaian dengan struktur teduhan. Jika dibandingkan dengan teduhan pertama, pihaknya tidak menerima rungutan daripada ahli persatuan.
“Bagaimanapun, setelah siap teduhan kedua ini kebanyakan ahli persatuan meluahkan rasa tidak puas hati kerana tiang batu tidak selari dengan keadaannya. Selain pintu masuk kiri dan kanan tidak dibatukan seperti dinyatakan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pengkalan Nelayan Sungai Timun.:
Menurutnya, nelayan turut berdepan dengan masalah apabila kawasan teduhan pertama dan kedua tidak memiliki kedalaman sepa-tutnya sehingga menyukarkan kerja membawa keluar dan masuk bot.
“Hal ini kerana apabila air sungai surut menyebabkan bot dan enjin tersangkut di kawasan timbunan pasir. Nelayan terpaksa menolak bot sehingga keluar pintu masuk teduhan bagi mengelakkan enjin bot menjadi rosak. Pihak kami berharap pintu masuk ke kawasan teduhan dinaiktarafkan,” katanya.:
Selain itu, menurutnya, kawasan turapan jalan di Pengkalan Nelayan Sungai Timun tidak rata menyebabkan terdapat kawasan bertakung setiap kali hujan lebat.
“Disebabkan itu, kedai berhampiran turut dimasuki air kerana ketiadaan saluran air untuk mengalirkan air hujan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya berharap pihak berkaitan dapat menangani masalah ini secepat mungkin supaya masalah sedia ada tidak bertambah rumit dan nelayan dapat menjalankan aktiviti dengan baik seperti biasa.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8007950.asp











