Sinar Harian 28 Apr 2010
KOTA - Kemajuan teknologi maklumat dengan pesat menyebabkan kafe siber tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
Masyarakat dulu buta IT kini semakin menyedari kepentingan teknologi mempelajari dan menguasai ilmu dunia tanpa sempadan ini.

Pengusaha kafe siber 1st Click Cyber Cafe, Madznah Talib, 53, memilih perniagaan kafe siber yang mula ditubuhkan pada 17 Jun 2008 dan masih beroperasi sehingga kini sebagai sumber pendapatan.
Dia menyedari setiap perniagaan mempunyai risiko kerana sebelum ini dia terlibat dalam perniagaan kerepek dan buah naga, tetapi terpaksa berhenti apabila perniagaan kurang mendatangkan keuntungan.
Tidak tahu
Dia mengakui tidak mengetahui perniagaan berasaskan teknologi maklumat kerana tidak terdedah dengan dunia IT.
Namun atas cadangan anak dan saudara, dia nekad serius dalam perniagaan ini.
“Pada mulanya saya memang tidak yakin dengan keputusan dibuat, namun sokongan dan dorongan diberikan membuatkan saya bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan sepanjang menerajui perniagaan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian 1st Click Cyber Cafe di Tingkat 1, Jalan Besar Kota.
Ibu tunggal memiliki dua anak ini bersemangat dan berusaha gigih mencari pendapatan selepas suami tercinta meninggal dunia lima tahun lalu akibat penyakit buah pinggang.
“Sebagai ibu, saya masih memiliki tanggungjawab membesarkan anak-anak. Saya tidak boleh duduk diam tanpa melakukan kerja. Walaupun terpaksa berdepan pelbagai masalah, saya bulatkan hati terus berjuang menambah pendapa-tan keluarga,” katanya yang mengeluarkan modal sebanyak RM45,000 bagi perniagaan kafe siber ini.
Selepas hampir dua tahun mengusahakan perniagaan ini, dia kini boleh menarik nafas lega apabila mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada penduduk setempat. Walaupun terdapat persaingan, namun dia mengambil secara positif.
“Saya sedar setiap perniagaan mempunyai persaingan, namun bagaimana cara mengatasi terpulang kepada pengusaha. Saya memiliki prinsip sendiri apabila berniaga. Bagi saya ajal, maut dan rezeki semua di tangan Tuhan,” katanya.
Didik remaja
Seperti pengusaha lain keuntungan menjadi keutamaan, tetapi bagi dirinya selain berniaga dia turut berdakwah dengan mendidik jiwa anak muda supaya tidak leka kerana penggunaan komputer akan memberi impak negatif terhadap pemikiran golongan muda jika disalah guna.
“Saya tidak mahu anak-anak didedahkan dengan perkara negatif seperti melihat gambar lucah atau melayari laman web sembarangan sehingga mempengaruhi tingkah laku mereka,” katanya.
Dia tidak mahu keuntungan berlipat ganda, tetapi akhlak golongan muda tercemar dengan unsur tidak baik menyebabkan mereka menjadi pelajar bermasalah sekali gus mengganggu konsentrasi pelajaran.
“Anak-anak muda perlu dididik dengan cara berhemah. Kita tegur dengan cara baik. Jika mereka enggan terima, mungkin mereka tidak akan datang ke kafe ini semula. Tetapi saya tidak rugi kerana niat saya bagi membantu sudah dilakukan,” katanya.
Madznah berkata, dia sememangnya tegas terhadap pelanggan nakal kerana bimbang masalah sosial melanda golongan muda ketika kini sehingga menggelapkan masa depan menular.
“Saya mahu masyarakat memiliki persepsi positif terhadap kafe siber. Disebabkan itu sebagai pengusaha saya tidak mahu kafe siber dicemari perkara tidak elok sedangkan fungsi dan peranan kafe siber adalah bagi mendapatkan maklumat berguna melalui Internet,” katanya.
Masyarakat sedia maklum mengenai penggu-naan Internet ada positif dan negatifnya. Dia tidak mahu kafe sibernya memberi imej buruk kepada masyarakat.
“Saya akan memantau aktiviti dilakukan di kafe ini. Saya tidak membenarkan mereka membuka laman web lucah dan meminta menjaga perlakuan sepanjang menggunakan komputer di sini,” katanya.
Aktif kerja amal
Selain berniaga, dia juga aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) apabila bertindak selaku Yang Dipertua Persatuan Hal Ehwal Wanita (Helwa) Daerah Rembau dengan memiliki seramai 157 ahli.
Menurutnya, sejak dulu dia berminat terhadap kerja kebajikan dan membantu golongan memerlukan terutama golongan wanita. Disebabkan itu, dia aktif menjalankan program bagi membela nasib wanita.
“Golongan wanita perlu bangkit dan tidak hanya menyalahkan takdir semata-mata sedangkan mereka memiliki kudrat bagi memajukan diri sekali gus mengeluarkan keluarga daripada kepompong kemiskinan,” katanya.
Menurutnya, golongan wanita terutama ibu tunggal perlu bekerja keras kerana banyak ruang dan peluang dibuka kepada golongan ini mengikuti latihan dan bimbingan bagi menjana pendapatan.
“Persatuan ini menjadi platform terbaik golongan wanita memperjuangkan nasib supaya mendapat pembelaan yang sewajarnya dan memperoleh kehidupan lebih selesa,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7619916.asp