RHI

RHI

Sabtu, 31 Oktober 2009

Hujan sejam, 30 rumah dilanda banjir

Sinar Harian 30 Okt 09

SENAWANG –: Banjir lagi! Itu antara keluhan penduduk di beberapa kawasan perumahan di sekitar Senawang dan Paroi berikutan masalah banjir yang kerap berlaku setiap kali hujan lebat.

Hujan lebat bermula jam 2 petang kelmarin dalam tempoh satu jam menyebabkan beberapa kawasan taman perumahan di sekitar Senawang iaitu Taman Lily dan Taman Sri Siantan dilanda banjir lumpur dan menimbulkan desakan penyelesaian daripada pihak berwajib.

Kawasan lain yang turut terjejas, Taman Sri Pagi, Taman Satria, Kampung Sentosa Paroi, Kampung Paroi dan beberapa tempat sekitar Ampangan.

Setiap kali hujan lebat berterusan dalam tempoh beberapa jam masing-masing mula resah kerana khuatir rumah dimasuki air secara tiba-tiba, selain terpaksa menanggung kerugian akibat perkakas rumah dan harta benda rosak.

Malah, apabila banjir mula surut, satu lagi beban baru menanti kerana masing-masing perlu membersihkan lumpur yang masuk ke rumah.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5389958.asp

Taman permainan rosak, penuh najis


Sinar Harian 30 Okt 09

PEDAS - Keadaan taman permainan kanak-kanak di kawasan perumahan Taman Pedas Indah amat menyedihkan apabila buaian dan gelongsor hanya tinggal rangka sahaja ditambah pula lambakan najis haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau di kawasan itu.

Penduduk, Neti Agus, 32, ketika ditemui berkata, keadaan itu bukannya baru lagi tetapi sudah lama namun, tiada sebarang perubahan dibuat untuk memperbaiki taman permainan itu sehingga ke hari ini.

Menurutnya, jika dahulu kanak-kanak dapat mengisi masa lapang bermain di taman itu namun, semua itu sudah tidak berlaku lagi.

“Tengoklah buaian dan gelongsor sudah rosak. Macam mana kanak-kanak di sini hendak bermain dengan selesa. Najis lembu pun merata-rata. Keadaan ini mencacatkan lagi pemandangan di kawasan tersebut,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5389857.asp

Rabu, 28 Oktober 2009

Program Ibadah Korban PASTI Amal


Moh Sertai Ibadah Korban DUN Paroi 1430H

PROGRAM IBADAH KORBAN DUN PAROI 1430H
Anjuran Pusat Khidmat DUN Paroi

1 Bahagian Lembu RM 350.00

OBJEKTIF PROGRAM
- Membantu golongan miskin yang memerlukan terutamanya di DUN Paroi melalui Ibadah Korban dan Aqiqah.
- Agihan daging korban dikawalselia oleh pihak DUN berdasarkan senarai nama mereka yang benar-benar layak menerima sumbangan dan bantuan.
- Memudahkan peserta menunaikan tuntutan agama.

Untuk penyertaan sila hubungi Sdr Hassan 019-2171942 atau e-mel mtdparoi@yahoo.com

Bayaran boleh dibuat secara tunai atau cek melalui akaun berikut :
Nama akaun : PAS Dun Paroi
No akaun : 05012010063902
Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

Penternak kecewa tunggu jawapan


Sinar Harian 28 Okt 09

SEPRI - Seorang penternak melahirkan rasa kecewa apabila mendakwa sehingga kini masih belum memperoleh jawapan berhubung permohonan bantuan menaik taraf projek penetasan dan penternakan anak ayam kampung.

Fatharullah Amin Abd Wahab, 38, berkata, surat permohonan tersebut dihantar kepada pejabat Perkhidmatan Veterinar Rembau bertarikh 27 Mei lalu, namun maklum balas diharapkan tidak terjawab sehingga kini.

Katanya, akibat terpaksa menunggu lama, dia mengambil keputusan untuk pergi ke pejabat Veterinar Rembau tetapi difahamkan, permohonan tersebut dihantar ke peringkat negeri seterusnya ke Pusat.

“Apa yang mengecewakan, hampir lima bulan menanti jawapan, satu surat pun tidak pernah diterima. Apatah lagi saya tidak pernah menerima kedatangan pegawai untuk melihat sendiri projek yang dijalankan,” katanya.

Fatharullah berkata, bantuan dimohon adalah peralatan dan mesin diperlukan bagi menampung kapasiti pengeluaran telur serta bekalan anak ayam kampung seperti inkubator automatik, ‘palletizer’ dan jaring plastik.

“Dengan mesin yang sedia ada kini saya tidak mampu untuk menampung pengeluaran telur sedangkan permintaan kian meningkat. Saya terpaksa tolak permintaan kerana kesukaran untuk menyediakan bekalan anak ayam mencukupi,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Berangan, Sepri.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5343815.asp

Sabtu, 24 Oktober 2009

Rumah teramat daif di Chengkau, Rembau, N.Sembilan

Ikuti kisah dan gambar rumah penduduk di Chengkau, Rembau, N.Sembilan yang teramat sangat daif pada pautan berikut http://zuraidaharahman.blogspot.com/2009/09/poor-and-neglected-rembau.html

Mungkin ada yang sudi membantu.

Rabu, 7 Oktober 2009

Peniaga mengeluh pasar lengang


Sinar Harian 7 Okt 09

REMBAU - “Pasar Awam Rembau ibarat pasar mati. Tak ramai pelanggan. Pilihan pun tak banyak. Masalah longkang tersumbat. Bau busuk sampai mengganggu ketenteraman penjual dan pembeli. Susahlah kalau terus macam ini. Sampai bila semua ini akan berakhir?”

Itulah antara rintihan peniaga di pasar awam di sini apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Zaifulbahri Idris bersama ahli Majlis Daerah Rembau yang diketuai Yang Dipertua Majlis, Mohamad Rawi Baharom ketika melakukan lawatan mengejut di pasar ini.

Pelbagaikan produk jualan tarik pengunjung

Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, dia mengakui pasar ini tidak mempunyai pelanggan yang ramai terutama pada hari biasa.

Gerai pula banyak kosong dan terbiar begitu sahaja sedangkan gerai ini boleh disewakan kepada orang ramai yang berminat.

Menurutnya, keadaan itu bukan berlaku pada ketika ini sahaja, malah ia sudah dibangkitkan sejak sekian lama, namun tiada perubahan yang dilakukan sehingga kini.

“Jualan di pasar ini perlu dipelbagaikan dan diletakkan di bawah satu bumbung untuk menarik pelanggan datang ke pasar ini.

“Ini memudahkan peniaga dan pembeli melakukan urusan jual beli dengan lebih teratur tanpa perlu ke sana sini untuk membeli barang,” katanya.

Menurutnya, peniaga di sini juga terpaksa bersaing dengan pasar raya dan pasar segar yang terdapat di daerah ini.

Kebanyakan pelanggan beralih ke sana kerana difahamkan harga lebih murah berbanding di pasar ini.

“Itulah dilema yang terpaksa dihadapi peniaga seperti kami. Takkan nak turunkan harga sedangkan kami juga perlu mencari makan dan membayar sewa gerai.

“Walaupun agak tertekan dengan keadaan ini, selagi boleh bertahan, saya akan terus berniaga di sini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5208725.asp

Selasa, 6 Oktober 2009

Padang semak undang haiwan liar


Sinar Harian 6 Okt 09

KENDONG - Pengalaman bertembung seekor babi hutan ketika melalui satu jalan ke masjid berhampiran menjadikan seorang penduduk trauma dan tidak berani melalui kawasan itu kerana takut kejadian sama berulang lagi.

Penduduk yang enggan dikenali ketika menceritakan detik cemas itu berkata, seperti biasa dia bersama penduduk kampung akan ke masjid menunaikan solat subuh secara berjemaah.

Menurutnya, namun peristiwa bertemu babi hutan ketika berjalan sendirian menyebabkan dia terkejut.

Mujurlah dia tidak diserang, jika tidak mungkin dia tidak lagi mampu berdiri seperti saat ini.

“Saya terkejut ketika melihat seekor babi hutan melintas di depan saya. Saya pernah dengar kata orang apabila ternampak babi hutan jangan lari kalau tidak nahas dikerjakan.

“Saat itu, saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya melindungi diri dari sebarang bahaya,” katanya.

Katanya, dia percaya kehadiran babi hutan dan haiwan liar lain berpunca padang bola yang kini seakan hutan apabila ditumbuhi lalang setinggi kanak-kanak kecil berusia tiga tahun.

Padang bola ini sudah lama tidak dimesin rumputnya. Sebab itu, keadaan padang menjadi semak samun tambahan pula kawasan kampung ini berdekatan hutan rimba. Kalau ada binatang buas yang bersembunyi pun kita tidak tahu,” katanya.

Selain itu katanya, bukan sahaja babi hutan yang berkeliaran di kawasan itu tetapi ular, biawak dan anjing turut ada serta mengganggu ketenteraman penduduk.

“Jika pihak yang berkaitan tidak memberi perhatian dengan nasib dialami, penduduk di sini akan terus diselubungi rasa takut dan tidak berani keluar ke rumah untuk ke masjid terutamanya pada waktu Subuh dan malam hari,” katanya.

Menurutnya, keadaan padang yang tidak terjaga juga menyebabkan anak muda tidak dapat melakukan aktiviti riadah seperti bermain bola sepak dan aktiviti sukan lain.

“Inilah masalah yang membelenggu penduduk di sini. Jika keadaan padang terus tidak diberi perhatian ke mana lagi anak muda ini akan pergi untuk mengisi masa lapang mereka.

“Kita tidak mahu remaja ini dihimpit dengan masalah gejala sosial yang sememangnya kian meruncing dan membimbangkan banyak pihak,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5204362.asp