
LUBOK CHINA, Rembau - Seorang penduduk di sini mengadu mengenai keadaan parit yang tersumbat dan dipenuhi semak samun sehingga mencacatkan pemandangan di jalan besar Kampung Sungai Semin.
Arifin Abdul Wahab, 49, berkata, keadaan ini menyebabkan air melimpah apabila hujan lebat kerana parit tersumbat dengan pelbagai jenis sampah.
Menurutnya, keadaan ini juga mengundang pembiakan nyamuk dan membimbangkan penduduk setempat.
Katanya, pembersihan kawasan parit ini dapat mengurangkan masalah yang dihadapi penduduk.
“Jika parit ini tidak dibersihkan dengan segera dikhuatiri masalah yang sedia ada tidak akan selesai dan ditambah pula dengan masalah yang lain.
“Di kawasan parit ini juga terdapat tanaman pokok kelapa yang dikomersialkan penduduk iaitu kelapa mawar dan pandan dan boleh memberi impak tidak baik terhadap usaha yang dijalankan ini jika masalah ini berterusan.
“Kita tidak mahu usaha pertanian ini gagal kerana penanaman pokok kelapa ini adalah antara yang terbaik di Malaysia,” katanya.
Menurutnya, jika kawasan parit itu dibersihkan, mungkin selepas ini banyak lagi aktiviti pertanian yang boleh diusahakan penduduk sekitar untuk menambahkan pendapatan dan memajukan lagi kawasan kampung ini.
“Apabila kawasan parit ini dibersihkan, orang yang menggunakan jalan kampung ini akan melihat satu pemandangan yang cantik dan bersih. Inilah perkara yang kita mahukan iaitu kampung ini menjadi antara yang terbaik di antara kampung yang lain,” katanya.
Katanya, tindakan pantas daripada pihak yang bertanggungjawab amat diharapkan bagi membersihkan kawasan parit yang tercemar dan memberi masalah kepada penduduk setempat.
“Parit ini adalah penting kepada penduduk kerana air yang mengalir akan terus ke sungai besar justeru dapat mengelakkan kejadian banjir berulang,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story3000944.asp
