RHI

RHI

JEJAK UKHUWWAH

JEJAK UKHUWWAH

Jumaat, 31 Oktober 2008

Kembalinya ke pangkuan Ilahi veteran PAS Rembau

Pada Khamis 30 Oktober 2008 seorang ahli veteran PAS Kawasan Rembau telah kembali ke pangkuan Ilahi setelah beliau terjatuh semasa menunggang motosikal di Chengkau beberapa hari sebelumnya. Allahyarham Tuan Haji Osman Manah adalah merupakan ahli veteran PAS yang telah banyak berjasa kepada PAS serta perjuangan Islam terutamanya di Cawangan Pulau , Chengkau.

Beliau telah melalui segala pahit manis dalam perjuangan untuk menegakkan syiar Islam. Alhamdullilah dipenghujung usia beliau setidak-tidaknya beliau telah dapat menyaksikan kemenangan PAS di Negeri Sembilan walaupun cuma kerusi tunggal DUN Paroi dalam Parlimen Rembau.

Allahyarham cukup terkenal sebagai seorang yang lemah lembut , suka memberi nasihat dengan kata-kata yang lunak serta kata-kata adat. Setiap program PAS Allahyarham banyak bertanya , berdailog dan berdiskusi. Allahyarham juga rajin mengajar kanak-kanak mengaji di kampung beliau di bangunan PASTI Al Amin.

Antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Sdr Azhar Ibrahim bekas calon PAS DUN Kota , Ustaz Nazri Yusof Setiausaha Dewan Ulamak PAS N.Sembilan, Sdr Rozmal Malakan Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Rembau, Tn Hj Awaluddin Mohal Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Rembau.

Semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang-orang soleh dan beriman.

Semoga Allah menggantikan dengan lebih ramai lagi pejuang Islam di Rembau ini untuk menegakkan syiar Islam khususnya dari golongan muda.

Rabu, 29 Oktober 2008

Majlis Yasin dan Solat Hajat di Markas Rembau 5 Nov

Assalamulaikum ,

Dijemput semua ke Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat mohon perlindungan ALLAH dari golongan yang zalim pada :

Rabu 5 November 2008
Jam 8 malam ( Isya berjemaah )
Di Markas PAS Kawasan Rembau

Anjuran : MTD Chembong , MTD Kota dan PAS Kawasan Rembau

Agenda :
Solat Isya
Solat Hajat
Bacaan Yasin
Tazkirah
Jamuan Ringan
Bersurai

Sumbangan untuk menjayakan program ini amat dialu-alukan.

Selasa, 28 Oktober 2008

Bendera PAS Cawangan Tg Sena , Rembau dilarikan

Sahlah parlimen Rembau ketika ini ada manusia gila yang tidak boleh tengok bendera PAS berkibar di kawasan Parlimen Rembau. Terbaru pada 28 Oktober 2008 bendera-bendera PAS yang dikibarkan di Markas PAS Cawangan Tg Sena , Rembau telah diturunkan dan dilarikan dengan tiang-tiang bendera sekali.

Kejadian disedari oleh Tn Hj Idris , Ketua Cawangan PAS Tg Sena sekembalinya dari menunaikan solat subuh di surau berdekatan.

Laporan polis telah dibuat.

Semua ahli PAS dipohon agar mengadakan solat hajat agar mereka yang bertanggungjawab melakukan sabotaj terhadap bendera-bendera PAS di kawasan Parlimen Rembau ini dapat ditangkap dan mendapat balasan yang setimpal.

Isnin, 27 Oktober 2008

PAS Rembau teruskan perjuangan walaupun diugut, diancam

PAS Kawasan Rembau akan meneruskan agenda perjuangan yang dirancang walaupun diugut dengan pelbagai ancaman. Demikian dinyatakan oleh Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Rembau Saudara Rozmal bin Malakan yang mengulas mengenai beberapa kejadian menurunkan dan mengoyakkan bendera-bendera PAS di Markas Rembau serta premis ahli PAS baru-baru ini. Antara agenda perjuangan PAS Kawasan Rembau menurut Rozmal ialah untuk mengajak masyarakat khususnya orang Islam agar menghayati ajaran Islam di kala umat Islam pada ketika ini sedang dibelenggu dengan pelbagai penyakit masyarakat antaranya keruntuhan akhlak , penagihan dadah , pergaulan bebas tanpa had batasan , penyalahgunaan kuasa dan rasuah , krisis rumahtangga yang melonggarkan institusi masyarakat pada ketika serta beberapa penyakit sosial dan akhlak yang lain.

Malah program membantu mereka yang memerlukan bantuan terutamanya golongan fakir miskin , golongan tua yang tiada pembelaan , pelajar-pelajar yang susah , golongan yang memerlukan rumah , mereka yang diberhentikan kerja , penganggur , para peniaga kecil yang sentiasa mengharapkan pembelaan dan bantuan adalah antara agenda penting PAS Kawasan Rembau.

PAS Kawasan Rembau melalui MTD Chembong , MTD Kota , MTD Paroi , MTD Rantau serta Dewan Pemuda PAS Kawasan Rembau dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Rembau telah berjaya membantu tidak kurang daripada 500 orang pada bulan Ramadhan yang lalu melalui beberapa program turun padang untuk membantu mereka yang memerlukan.

Ini adalah kerana menurut Rozmal sekiranya permasalahan ini tidak diatasi dengan secara berhemah dan dengan semangat kerjasama , maka penyakit masyarakat ini akan bertambah parah di kala dunia sedang diancam kemelut ekonomi yang kritikal.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan YB Tn Hj Mohamad Taufek Abd Ghani yang juga merupakan ADUN Paroi menyatakan bahawa PAS adalah merupakan sebuah parti politik yang sah serta berdaftar yang sentiasa mengikut undang-undang yang ditetapkan. Pihak yang melakukan sabotaj terhadap sebuah parti politik yang berdaftar adalah mereka yang sebenarnya yang mengancam keselamatan negara dan yang sengaja menimbulkan kekecohan di negeri ini. Justeru itu beliau menyeru agar pihak polis mengambil langkah yang sewajarnya untuk membendung kegiatan yang mengancam keselamatan di negeri ini oleh mereka yang tidak berfikiran secara demokratik.

YB Hj Taufek juga menyeru kepada semua ahli PAS khususnya pemuda di negeri ini agar berusaha bersungguh-sungguh dari saat ini untuk mempastikan kemenangan PAS serta Pakatan Rakyat di negeri ini agar rakyat di Negeri Sembilan ini akan mendapat pembelaan serta hak yang sewajarnya.

Ahad, 26 Oktober 2008

Gambar tiang besi bendera Markas PAS dibengkokkan












Bukan setakat bendera-bendera PAS di Markas PAS Rembau diturunkan, dicabut dan dikoyak-koyakkan, malah tiang besi bendera juga telah dibengkokkan mencecah bumi. Ini adalah kerana tiang besi tersebut tidak dapat dipotong seperti buluh yang jelas nampak kesan potongan dengan parang.

Entah manusia dari spesis keturunan apa yang sanggup membuat kerja yang sia-sia ini. Alangkah baiknya manusia spesis ini pergi memenuhkan masjid-masjid di Rembau yang banyak kosong ketika solat 5 waktu.

Satu laporan polis telah dibuat pada 25 Oktober 2008 di Balai Polis Rembau No Repot REMBAU/001612/08 oleh AJK PAS Kawasan Rembau memandangkan ini adalah kejadian kali ke 4 dalam tempoh yang pendek. Sila baca artikel sebelum ini Bendera-Bendera PAS dikoyak-koyakkan di sini http://pasns.blogspot.com/2008/10/bendera-bendera-pas-dikoyak-koyakkan-di.html

Berikut ialah laporan polis yang terkini :

Pada 24/10/2008 jam lebih kurang 1 tengahari semasa saya melalui kebun Brigadier Jeneral (B) Dato Hj Zakaria bin Hj Dahlan di Kg Masjid Senama , Rembau ( tepi jalan utama Rembau-Tampin) saya dapati bendera parti PAS yang saya pasang telah dipotong tiangnya dengan parang dan benderanya telah dipotong dan dicarikkan sebanyak (3) helai. Saya syakki ada pihak tertentu telah menceroboh masuk ke dalam kebun tersebut. Selain itu terdapat (9) batang tiang bendera iaitu (1) bendera parti KEADILAN (1) bendera Negeri Sembilan , (1) bendera Malaysia dan (6) bendera parti PAS telah dipatahkan dan dipotong di Markas PAS Kawasan Rembau di tepi jalan besar Rembau Tampin. Saya buat repot untuk siasatan dan tindakan pihak polis memandangkan ini merupakan kejadian kali yang ke 4 berlaku. Sekian repot saya.

Jumaat, 24 Oktober 2008

Unit Amal Rembau Rayu Bantuan Mangsa Banjir

REMBAU 22 Oktober 2008 - Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan hari ini menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar dapat menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang melanda beberapa daerah dan kawasan di Negeri Sembilan ini.

Menurut pengarahnya Sufian Ibrahim , hujan lebat yang turun pada waktu subuh semalam telah mengakibatkan beberapa kawasan perumahan dinaiki. Selain kawasan perumahan golongan sederhana, kawasan perumahan mewah juga turut dinaiki air mengakibatkan penghuni-penghuni kawasan berkenaan terpaksa dipindahkan.

Menurut Sufian lagi , Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan telah mengerahkan kesemua anggota Unit Amal untuk turun ketempat-tempat yang dinaiki air bagi membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir serta barang-barang penting.

Sehubungan dengan itu , Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan memerlukan bantuan kewangan sekitar RM 3000.00 untuk kegunaan anggota-anggota Unit Amal membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir selain mandapatkan peralatan-peralatan yang diperlukan untuk operasi menyelamat mangsa.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan samada wang , pakaian , lampin pakai buang bayi , makanan asas dan lain-lain lagi , bolehlah menghubungi :
Jabatan Amal Negeri Sembilan

1) Sufian Ibrahim (Pengarah ) 013-3589328
2) Zulkarnain (Timbalan Pengarah) 016-2097990 / 017-3051044

Info lanjut di Blog Jabatan Amal http://jabamal.blogspot.com

Rabu, 22 Oktober 2008

Cari jalan penyelesaian atasi banjir kilat

Sinar Harian 22 Okt 2008
SEREMBAN – Kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan perumahan sekitar Seremban boleh dielakkan sekiranya setiap projek pembangunan dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata, terdapat banyak kelemahan yang didapati daripada projek pembangunan yang dirancang hingga mengundang tragedi banjir kilat di Seremban.

Menurutnya, setiap pihak perlu mengenal pasti dan mengkaji punca sebenar yang menyebabkan berlakunya banjir kilat agar tidak berulang lagi.

“Kita perlu mencari satu penyelesaian agar masalah ini tidak terus menghantui penduduk di sini.

“Setiap kali hujan lebat turun, penduduk terpaksa berdepan dengan masalah banjir. Bagi saya, hal ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau tidak bermaksud pembangunan yang dirancang kerajaan tidak baik tetapi perlulah dilakukan dan diselenggarakan dengan sempurna agar tidak memerlukan kerja-kerja penambahbaikan dilakukan berulang kali.

“Biarlah sebarang projek dilakukan dengan bersungguh-sungguh agar ia benar-benar terjamin dan tidak membawa masalah kepada penduduk kelak.

“Misalnya, kalau buat longkang biarlah pelaksanaannya dilakukan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan begitu juga dengan kerja-kerja menarah bukit dan menambak lembah,” jelasnya.

Beliau berkata, sepatutnya, sebelum sesuatu projek diluluskan, kontraktor atau pemaju perlu mengkaji kesannya terhadap alam sekitar terlebih dahulu bagi memastikan projek yang dijalankan tidak mendatangkan masalah kepada penduduk pada masa akan datang.

Katanya, pihak terbabit jangan hanya memandang keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira kesan yang bakal berlaku nanti.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya kini sudah mendapatkan maklumat mangsa-mangsa banjir untuk membuat laporan polis dan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita membuka kaunter untuk mangsa banjir agar tidak ada yang tertinggal menerima bantuan dan kita juga berusaha sedaya-upaya untuk membantu mereka,” katanya.

Oleh itu, saya berharap agar semua pihak dapat membantu mangsa banjir ini kerana banyak kerugian yang perlu ditanggung akibat daripada kerosakan harta benda.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2076176.asp

Selasa, 21 Oktober 2008

Kursus Jahit Manik Percuma 24 Okt Senawang

Kursus Jahit Manik – Percuma
Jumaat 24 Oktober 2008
Jam 8 mlm – 10 mlm
Di PASTI Al Amal , No 984 , Jalan Teratai 14, Taman Marida , Senawang ( lot banglo )

Manik akan dibekalkan.
Sila bawa baju/kain , benang , jarum dan masing-masing
Maklumat lanjut hubungi 013-3851202
Anjuran : Muslimat DUN Paroi

Ahad, 19 Oktober 2008

Longkang di Rembau tersumbat


Gambar ini dirakam pada jam 5:04 ptg Sabtu 18 Oktober 2008 di persimpangan Kg Batu , dari jalan utama Rembau – Tampin menuju ke Inas dan Johol. Walaupun hujan telah lama berhenti, tanah kering , namun air di selekoh ini masih bertakung. Saliran dari jalan ke parit telah tersumbat. Harap pihak Majlis Daerah Rembau membaiki masalah ini agar tidak membahayakan pengguna jalanraya disamping mencegah demam Chikungunya yang sedang melanda Rembau.

Khamis, 16 Oktober 2008

Peniaga Melayu Rembau pun tiada pembelaan


Keratan akhbar Sinar Harian 16 Oktober 2008

Di Kg Astana Raja , Rembau pun peniaga Melayu tiada pembelaan. Apa salahnya buat gerai penjaja yang baru dulu , barulah diarahkan pindah ? Macamlah tak ada tanah di Rembau , bukannya di tengah ibu kota.

Rabu, 15 Oktober 2008

Penduduk Rembau mahu selenggara segera longkang


Sinar Harian 15 Okt 2008
REMBAU – Penduduk sekitar Taman Seri Rembau mahu pihak bertanggungjawab menyelenggarakan taman perumahan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan bersungguh-sungguh dan bukannya secara sambil lewa.

Penduduk mendakwa, kawasan persekitaran tidak dibersihkan dengan sempurna terutama bahagian longkang yang terdapat di hadapan mahupun di belakang rumah.

Seorang penduduk, Sapar Sutil, 42, yang mendiami rumah di kawasan ini sejak lapan tahun lalu berkata, pihak terbabit dilihat lepas tangan walaupun pelbagai aduan telah dilaporkan kepada pihak atasan.

Menurutnya, rumput sekitar taman terutama luar kawasan pemilik rumah dibiarkan panjang dan ditumbuhi semak samun, manakala di dalam longkang, air bertakung disebabkan sampah sarap di dalamnya gagal dibersihkan secara berkala.

“Apabila sampah diangkut keluar dari longkang, sampah tersebut dibiarkan sahaja di tepi jalan tanpa dibersihkan.

“Setelah sekian lama, sampah tersebut masuk semula ke dalam longkang dan perkara yang sama berulang.

“Rumput yang gagal dipotong terutama di bahagian belakang rumah menyebabkan longkang dipenuhi semak dan ini membahayakan sekiranya binatang berbisa menjadikannya sebagai habitat sementara,” katanya.

Sapar berkata, perkara ini sudah lama berlanjutan dan agak terkilan dengan sikap yang ditunjukkan pihak terbabit kerana perkara ini tidak seharusnya terjadi disebabkan penduduk menjelaskan pelbagai cukai yang dikehendaki.

“Saya khuatir perkara ini boleh mendatangkan masalah kesihatan terutama daripada bawaan nyamuk seperti Denggi dan Chikungunya yang mungkin menular sekiranya langkah-langkah pembersihan gagal dijalankan di kawasan perumahan ini.

“Setakat ini tiada lagi kes sedemikian rupa, cuma terdapat beberapa individu yang disyaki menghidapi denggi sahaja.

“Saya berharap, pihak terbabit mengambil langkah sewajarnya berhubung perkara ini agar ada tindakan berkesan yang boleh mengatasinya,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2054019.asp

Selasa, 14 Oktober 2008

Lembu berkeliaran susahkan pengguna jalan raya di Rembau

Sinar Harian 14 Okt 08
REMBAU - Binatang ternakan yang dibiarkan lepas meragut rumput seharusnya diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana boleh membahayakan keselamatan terutama kepada pengguna jalan raya.

Seharusnya penternak memantau pergerakan haiwan ternakan mereka dan bukannya membiarkannya berkeliaran tanpa pengawalan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, binatang ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing yang berkeliaran menyebabkan kenderaan terpaksa memberhentikan kenderaan dalam keadaan mengejut dan merbahaya keadaan.

Terdapat juga binatang ternakan yang melepasi kawasan perumahan, padang-padang awam dan kawasan perkuburan yang boleh mengundang kemarahan pihak-pihak tertentu.

Terdapat juga penternak yang gagal menambat semula haiwan ternakan dan dibiarkan lepas begitu sahaja pada waktu malam dan tindakan ini begitu merbahaya apabila haiwan tersebut menjadikan jalan raya sebagai tempat berehat.

Bukan itu sahaja, najis lembu yang merata-rata mengundang keadaan kurang selesa kepada pengguna jalan raya yang terpaksa mengelak dan membasuh kenderaan selalu jika terlanggar najis.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2052193.asp

Isnin, 13 Oktober 2008

Mahu padang permainan Taman Seri Rembau dibaik pulih

Sinar Harian 13 Okt 2008
REMBAU – Terabai, itu gambaran yang dapat dilihat di tapak permainan kanak-kanak di kawasan perumahan Taman Seri Rembau yang semakin terbiar dan rosak.

Prasarana disediakan berupa dua buah buaian, jongkang jongket dan gelongsor dikatakan tidak dapat menampung kapasiti sementelah taman perumahan didiami lebih 300 keluarga.

Kekurangan itu, ditambah pula dengan beberapa permainan rosak dan tidak boleh digunakan lagi yang dilihat boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, terdapat empat buaian dan hanya sebuah dapat digunakan sementara yang lain rosak.

Sapar Sutil, 42, yang hampir lapan tahun menduduki kawasan perumahan ini berasa sedih melihat taman permainan yang semakin uzur dan hanya mencacatkan pemandangan sekitar.

Katanya, setiap petang, taman yang hanya menyediakan permainan terhad menjadi rebutan kanak-kanak dan ada kalanya mencetuskan pergaduhan kecil.

Menurutnya, perkara ini pernah diajukan kepada pihak yang bertanggungjawab, namun dipandang sepi sehingga kini tanpa apa-apa tindakan diambil sama ada membaik pulih semula atau menambah prasarana sedia ada.

Jelasnya, padang permainan ini juga gagal diselenggarakan dengan baik di mana sampah sarap tidak dikutip dan dibiarkan sahaja sehingga mencacatkan pemandangan.

Tambahnya, padang permainan ditumbuhi lalang ini hanya dimesin sebulan sekali bergantung kepada kepanjangan rumput.

Struktur padang yang tidak rata dan berlubang menyebabkan ramai kanak-kanak tidak lagi bermain bola seperti kebiasaan.

Katanya lagi, selain itu, taman permainan ini juga tidak menitikberatkan ciri-ciri yang menjamin keselamatan.

“Seharusnya disediakan lapisan getah dan sebagainya bagi menggelakkan kanak-kanak terjatuh dan mengalami kecederaan lebih serius.

“Sewajarnya masalah ini diberi perhatian lanjut oleh pihak bertanggungjawab dengan kadar segera agar kanak-kanak di sini dapat beriadah dengan sempurna,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2048625.asp

Penduduk Senawang gesa jalan segera dibaiki

Sinar Harian 13 Okt 2008
SENAWANG – Rata-rata penduduk Taman Sri Pagi sudah tidak dapat bersabar apabila masalah kerosakan jalan sering berlaku di persimpangan lampu isyarat menuju ke Taman Sri Pagi.

Sinar Harian dimaklumkan penduduk di taman itu masalah itu kerap berlaku setiap kali hujan lebat biarpun kerosakan jalan tersebut pernah dibaiki.

Mohd Suhaimi Md Ali, 26, berkata, masalah tersebut sememangnya mengundang ketidakpuasan hati penduduk di kawasan itu.

“Setahu saya masalah jalan rosak di sini sudah berlaku beberapa kali dan keadaannya menjadi semakin buruk apabila hari hujan.

“Keadaan ini sebenarnya mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Keadaan musim hujan sekarang lagi menyulitkan keadaan kerana kerosakan jalan tersebut dilihat semakin teruk, tambahnya.

Selain itu, Suhaimi memberitahu, tayar keretanya pernah pancit disebabkan masalah kerosakan jalan tersebut.

“Kalau penunggang motosikal lagi bahaya jika menggunakan jalan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Suhaimi berkata, dia bimbang sekiranya berlaku kemalangan akibat daripada keadaan jalan tersebut.

Katanya, dia begitu berharap agar pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera bagi meleraikan keresahan penduduk.

“Janganlah apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini baru pihak terbabit hendak mengambil tindakan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2048725.asp

Penduduk Senawang luah rasa tidak puas hati

Sinar Harian 13 Okt 2008
SENAWANG – Tidak kurang 100 keluarga di Taman Tuanku Najihah melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerja-kerja pembinaan landasan berkembar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di kawasan bertentangan rumah mereka.

Ini kerana, menurutnya kerja pembinaan tersebut yang membabitkan kerja mengaut tanah bukan saja mengakibatkan jurang yang luas serta membahayakan, malah mereka mendakwa kerja terbabit sudah melepasi sempadan yang ditetapkan.

Penduduk mendakwa kerja pengorekan sepanjang kira-kira dua kilometer yang bermula seminggu sebelum Aidilfitri itu menyebabkan keselesaan penduduk terganggu selain ada antara mereka kecewa selepas pelbagai tanaman bagi menceriakan permandangan musnah sama sekali.

Seorang penduduk Mariam Dahlan, 48, berkata kerja pembinaan tersebut bermula sebelum Hari Raya lalu sebelum diberhentikan seketika berikutan mendapat bantahan penduduk sekitar.

“Bagaimanapun, sebaik saja saya pulang dari berhari raya di Kuala Pilah, Isnin lalu, saya terkejut apabila mendapati kawasan depan rumah saya lapang akibat kerja mengaut tanah tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau yang tinggal di situ sejak lebih 20 tahun lalu turut mendakwa kontraktor terbabit telah melepasi sempadan tanah yang ditetapkan menyebabkan banyak tanaman yang diusahakan penduduk di situ musnah.

Maimunah Juhal, 49, berkata berikutan kerja pengorekan itu, penduduk terutama kanak-kanak bukan saja terdedah kepada bahaya, malah ramai yang terkilan apabila mendapati kerja mengaut tanah itu menghampiri rumah mereka.

“Kami terkilan kerana sebelum ini kami sudah bela kawasan tersebut. Kalau mereka mahu mengaut tanah sendiri, tak ada masalah tetapi saya percaya kontraktor terbabit sudah melangkaui batu sempadan,” katanya.

Menurutnya, kerja mengaut tanah itu juga menyebabkan hakisan terutama ketika hujan lebat.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zarina Zainal Abidin, 31, berkata sebelum ini pihak kontraktor ada meletakkan notis di kawasan tersebut.

“Mereka meletakkan notis di sempadan kawasan itu yang meminta semua penduduk membersihkan kawasan berkaitan. Memang selepas itu kita bersihkan, tetapi hanya di kawasan mereka saja.

“Kami terkejut apabila mendapati kawasan itu juga dikautnya. Saya berharap pihak berkaitan melihat semula sempadan bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2040816.asp

Jumaat, 10 Oktober 2008

Suami isteri tinggal dalam bangsal di Rembau

Suami isteri huni bangsal

Harian Metro 10 Oktober 2008

REMBAU: Kesempitan hidup mengakibatkan sepasang suami isteri terpaksa menjadikan bangsal di Kampung Penajis Bandar, dekat sini, sebagai kediaman mereka sejak sembilan bulan lalu.

Ramli Sulaiman, 56, dan isterinya, Halimah Abu Hasan, 54, terpaksa menjadikan bangsal berbumbungkan kanvas tanpa dinding sebagai tempat berteduh dari hujan dan panas.

Pasangan itu terpaksa memasak dan menjadikan tidur di atas katil usang selepas permohonan membuat pinjaman rumah murah tidak diluluskan bank disebabkan pendapatannya rendah.

Ramli berkata, sebelum ini, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di Melaka dengan pendapatan RM700 sebulan sebelum mengambil keputusan berhenti kerja dan pulang ke kampung.

“Untuk meneruskan kehidupan, saya mengambil upah memotong getah di ladang milik seorang penduduk dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan tetapi sejak akhir-akhir ini saya tidak dapat keluar kerana hujan,” katanya yang mempunyai tujuh anak.

Menurutnya, dengan pendapatan itu, dia membeli keperluan dapur selain perbelanjaan tiga anaknya yang masih bersekolah termasuk seorang kurang upaya.

“Anak kedua saya sudah berkahwin dan tinggal bersama suami di Muar, Johor manakala anak sulung bekerja di Melaka serta dua lagi anak lelakinya bekerja di kebun di Pasir Besar, Tampin.

“Mereka ada menghulurkan bantuan kewangan namun kami tidak mahu membebankan mereka disebabkan pendapatan mereka tidak banyak,” katanya.

Ramli berkata, hanya dia dan isteri tinggal di bangsal berkenaan manakala tiga anaknya menumpang di kediaman ibu saudara isterinya yang terletak berhampiran.

“Bekalan air, saya dapatkan daripada rumah ibu saudaranya. Memang saya dan isteri terpaksa tinggal dalam keadaan tidak selesa malah berdepan dengan risiko kerana babi hutan.

“Saya juga pernah diserang chikungunya kerana keadaan bangsal tanpa dinding menyebabkan kami terdedah kepada nyamuk,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081010092054/Article/index_html

Khamis, 9 Oktober 2008

Murid belajar dalam khemah di Rantau , N9


ADUN Rantau ialah Menteri Besar Negeri Sembilan. Rantau pula terletak dalam parlimen Rembau. Ahli Parlimen Rembau ialah Khairy Jamaluddin yang akan bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO. Rajin-rajinlah turun padang tengok tempat sendiri , janganlah asyik sibuk dengan pemilihan agung Umno.

*******************************
Harian Metro 9 Okt 2008
SEREMBAN: Sebahagian daripada 418 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nyatoh, Rantau, dekat sini, terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di bawah khemah dan wakaf, berikutan bangunan lama yang menempatkan kelas mereka sebelum ini tidak lagi selamat.

Bangunan setingkat menempatkan lima kelas terpaksa dikosongkan kerana struktur binaan batu dan papan itu tidak lagi selamat dan berbahaya kerana dimakan anai-anai.

Keadaan tidak selesa dihadapi murid tahun dua dan empat sejak pertengahan Ogos lalu selepas pihak pengurusan sekolah mengesan siling atap satu daripada lima kelas di bangunan terbabit hampir runtuh.

Pengurusan sekolah terpaksa mendirikan dua khemah berhampiran kantin bagi membolehkan sesi pembelajaran dapat diteruskan seperti biasa walaupun dalam keadaan tidak sempurna kerana murid terpaksa belajar tanpa kipas angin manakala murid yang mengikuti kelas di dalam wakaf hanya duduk bersila.

Pengurusan sekolah itu juga sudah meletakkan papan tanda sebagai kawasan larangan di luar bangunan lama yang dibina sejak 1890 itu.

Bagaimanapun, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) sudah mengambil langkah drastik dengan meluluskan pembinaan projek menaik taraf sekolah berkenaan dengan pembinaan dua bangunan baru empat tingkat bagi menggantikan bangunan lama itu.

Pengarah JPNS, Datuk Abdullah Mohammad, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah meluluskan pembinaan bangunan baru yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, bangunan lama akan diruntuhkan dan lima kabin dilengkapi sistem penghawa dingin akan dibekalkan di sekolah itu esok atau lusa bagi membolehkan murid yang ditempatkan di bawah khemah dan wakaf itu dapat belajar dalam keadaan selesa.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Mutakhir/20081009090311/Article
http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Thursday/National/2369910/Article/index_html

Penduduk Rembau mohon atasi masalah banjir

Sinar Harian 9 Oktober 2008
PEDAS - Hujan lebat selama dua jam yang berlaku petang kelmarin menyaksikan lebih 10 buah rumah sekitar Pedas ditenggelami air sedalam 1 meter khususnya rumah yang terletak berhampiran sungai.

Bagi penghuni di sini , mereka sudah bosan lantaran banyak kerugian yang terpaksa ditanggung apabila barang elektrik dan keperluan rosak, begitu juga dengan kenderaan yang perlu dibaiki selepas ditenggelami air.

Saban tahun, banjir yang dipercayai berpunca daripada sungai yang cetek dan gagal menampung air menyebabkan penduduk sekitar terpaksa menanggung kerugian dan bersengkang mata membersihkan rumah yang berlumpur selepas air mulai surut.

Bagi Sariah Ujang, 68, yang tinggal seorang diri, banjir kali ini tidak diduga kerana hujan hanya turun dua jam sahaja dan gagal menyelamatkan barangan terutama di bahagian dapur yang lebih rendah.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang dalam rumah kerana air naik terlalu cepat dan mujur ada anak-anak yang pulang membantu,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mohd Sufian Tajudin, 21, mahu Jabatan Pengiran dan Saliran mengambil tindakan segera dalam menanganinya masalah banjir ini.

Katanya, dalam setahun lebih daripada tiga kali banjir yang berlaku dan perkara ini masih berterusan sejak bertahun-tahun lamanya tanpa ada penyelesaian oleh pihak terbabit.

“Mana mungkin untuk kami bersabar dan terus menanggung kerugian akibat banjir sedangkan masalah ini boleh diatasi jika ada tindakan yang diambil oleh pihak tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, sungai yang cetek perlu didalamkan semula dan sampah sarap perlu dibersihkan secara berskala bagi menggelakkan banjir daripada terus berlaku.

“Banjir yang berlaku kelmarin menyebabkan kami mengalami kerugian dan berharap pihak tersebut mengambil langkah proaktif sama ada dengan mendalamkan sungai dan sebagainya bagi menangani permasalahan ini daripada terus berlaku,” ujarnya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2034896.asp

Rabu, 8 Oktober 2008

Persekitaran Kg Senama , Rembau tidak terurus

Sinar Harian 8 Okt 2008
REMBAU - Pihak bertanggungjawab diminta memberi perhatian kepada persekitaran Kampung Senama di sini, yang semakin terbiar dengan semak-samun tidak dibersihkan manakala jalan pula sudah lama tidak dinaiktarafkan.

Seorang penduduk, Hasmah Alias 53, berkata, semak-samun merimbun di sepanjang bahu jalan manakala jalan pula berlubang-lubang di simpang masuk ke kampung berkenaan.

Katanya, ketiadaan lampu jalan juga menyukarkan penduduk yang rata-rata warga emas.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, persekitaran kampung ini agak sunyi walaupun terletak di hadapan kediaman bekas Undang Luak Rembau dan tidak ada papan tanda menunjukkan kewujudan kampung terbabit.

Papan tanda sedia ada sudah rebah ke bumi tanpa ada inisiatif pihak-pihak tertentu bagi menggantinya kembali.

“Pada Aidilfitri yang lalu, ramai anak-anak di perantauan yang pulang ke kampung, menyuarakan kekesalan mereka dengan keadaan kampung yang seolah-olah seperti kampung tinggal.

“Struktur jalan semakin teruk, banyak jalan yang berlubang dan gagal diturap manakala sistem perparitan juga dikatakan tidak berkesan menangani masalah banjir,” katanya.

Menurutnya, apabila hujan lebat, rumah yang terletak di kawasan rendah mengalami banjir dan ini pastinya menyukarkan penduduk terbabit.

Katanya lagi, bilangan lampu jalan yang terhad juga membimbangkan penduduk kampung untuk keluar ke masjid pada malam hari.

Sinar Harian menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Senama, Ujang Ahmad semalam dan beliau mengesahkan masalah yang telah diutarakan oleh penduduk.

Ujang berkata, permohonan membaik pulih jalan telah dihantar ke Pejabat Daerah Rembau sejak sebelum pilihan raya, iaitu hampir setahun lalu.

Namun, beliau kesal sehingga kini tiada tindakan yang diambil oleh pihak terbabit dan mereka masih membisu berhubung hal ini.

Katanya, perkara itu sudah diajukan dan berharap masalah berkenaan dikaji semula terutama bagi masalah struktur jalan kerana ia sudah lama dan perlu diturap semula.

“Pihak terbabit juga dikatakan telah menyediakan peruntukan untuk memasang sebanyak 34 lampu jalan di seluruh kampung.

“Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada tindakan diambil.

“Berhubung masalah semak-samun, JKKK akan membersihkannya setiap tiga bulan sekali dengan jarak tiga kaki daripada jalan raya,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2031454.asp

Selasa, 7 Oktober 2008

PAS Rembau lancar Projek “SEKOLAHKAN MEREKA” sasar Sifar Keciciran

Menyedari masih ada kanak-kanak dan para remaja yang tidak mampu untuk meneruskan persekolahan samada peringkat rendah mahu pun sekolah menengah , Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Rembau melancarkan Projek “SEKOLAHKAN MEREKA , MATLAMAT SIFAR KECICIRAN”.

Ini adalah kerana PAS Kawasan Rembau menganggap adalah penting untuk setiap kanak-kanak dan para remaja di daerah ini menamatkan persekolahan sehingga ke tingkatan 5 serta memahami asas Membaca , Mengira dan Menulis.

Keciciran pelajar akan mendatangkan kepada pelbagai masalah antaranya gejala sosial , kerugian sumber manusia , kemiskinan dan ketidak seimbangan ekonomi.

Antara masalah yang ditemui mengapa kanak-kanak serta para remaja tidak dapat menamatkan persekolahan peringkat rendah dan menengah tidak mampu membayar yuran persekolahan , buku sekolah , yuran peperiksaan , pakaian sekolah , pengangkutan ke sekolah dan perbelanjaan makan minum di sekolah.

Antara faktor yang menyebabkan pelajar ini dikategori bermasalah dari segi kewangan ialah kematian ibu bapa atau penjaga , ibu bapa atau penjaga menghadapi penyakit yang kritikal atau ditimpa kemalangan serta ibu bapa yang dipenjarakan yang menyebabkan mereka terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja sebagai pekerja bawah umur untuk membantu menyara keluarga serta menjaga adik-adik.

Matlamat PAS Kawasan Rembau pada penggal persekolahan bermula 2009 nanti ialah SIFAR KECICIRAN pelajar untuk peringkat sekolah rendah dan menjelang tahun 2010 SIFAR KECICIRAN pelajar peringkat sekolah menengah yang disebabkan oleh kemiskinan dan kesempitan hidup dalam keadaan ekonomi negara dan global yang semakin mencabar.

Justeru itu PAS Kawasan Rembau menggesa kepada semua pihak yang mempunyai maklumat pelajar-pelajar yang tidak dapat meneruskan persekolahan di daerah ini agar menghubungi AJK PAS Kawasan Rembau.

Projek “SEKOLAHKAN MEREKA , MATLAMAT SIFAR KECICIRAN” ini tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada semua pihak. Mereka yang ingin membantu menyekolahkan pelajar yang keciciran dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan , pakaian dan kelengkapan persekolahan dan sebagainya bolehlah menghubungi nombor berikut :

Tn Hj Roni 012-2268230 Ketua Lajnah Kebajikan
Tn Hj Shukri 017-2446215 Ketua Pemuda Kawasan
Pn Wani 013-3851202 Ketua Muslimat Kawasan
Sdr Rozmal 012-2267406 Pemangku Yang Di Pertua Kawasan

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui Akaun : DEWAN PEMUDA PAS KAW REMBAU , No Akaun : 05012010065457 Bank Islam Malaysia Berhad