RHI

RHI

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

Rabu, 27 Ogos 2008

Ibu sara 4 anak, ibu uzur di Chengkau, Rembau

Sinar Harian. KOTA- Seorang ibu tunggal terpaksa memikul tanggungjawab yang besar dalam membesarkan lima orang anak dan empat yang masih bersekolah serta menjaga ibu yang telah uzur di Kampung Baru Chengkau Ulu.

Nafsiah Yusof 48, yang bekerja di kilang ayam di Pedas, cekal menghadapi hidup setelah bercerai enam tahun lalu tanpa diberi nafkah untuk membesarkan anak-anak.

Walaupun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan tetapi ia tidak mencukupi untuk membesarkan anak-anak tanpa bantuan daripada bekas suami.

Seawal jam 5.30 pagi, Nafsiah akan berjalan kaki berulang alik ke perhentian bas setiap hari untuk ke tempat kerja dan pulang antara 6 hingga 7 petang dengan jarak yang sangat jauh.

“Biasanya saya akan memasak terlebih dahulu untuk anak-anak dan ibu, kemudian baru saya pergi bekerja,” katanya.

Anak-anaknya yang bersekolah dari darjah dua hingga enam di Sekolah Kebangsaan Bongek terpaksa berdikari sendiri untuk persiapan ke sekolah dengan menaiki van yang dibayar RM200 sebulan.

Selain itu, kesihatan anak-anaknya begitu membimbangkan Nafsiah apabila anak perempuannya yang berumur 12 tahun sering mengadu sakit perut dan pinggang.

“Saya telah membawanya ke klinik, namun doktor mengatakan tiada apa-apa penyakit tetapi penyakitnya sering berulang dan merisaukan saya.

“Hendak dibawa berjumpa pakar, saya tidak berkemampuan daripada segi kewangan,” katanya.

Kehidupan yang menghimpit semakin perit apabila rumah yang uzur perlu dibaiki untuk memberikan keselesaan terhadap anak-anaknya yang semakin membesar.

Atas keprihatinan dan jasa baik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Dr Awaludin Said, permohonan saya terhadap Rumah Mesra Rakyat telah diluluskan yang kini dalam proses pengesahan peguam dan akan dibina tidak lama lagi.

Namun, disebabkan pendapatan bersih setiap bulan hanya RM500 lebih menyukarkannya untuk membayar dan Nafsiah telah memohon bagi pihak anak sulungnya yang telah bekerja dan berkeluarga.

Apabila rumah itu siap nanti anak sulungnya yang akan menetap di situ sebaliknya dia dan anak-anak lain akan terus tinggal di rumah yang didiaminya sekarang.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story1899585.asp

Jumaat, 15 Ogos 2008

ADUN Paroi bantu 2 keluarga baiki rumah

Semoga lebih ramai ADUN-ADUN PAS, PKR, DAP, UMNO, MIC dan MCA di Negeri Sembilan ini dapat mencontohi ADUN Paroi YB Hj Taufek http://mohdtaufek.blogspot.com untuk membantu mereka yang memerlukan dengan menggerakkan komuniti mereka saling bantu membantu.

************************************
Harian Metro. Jumaat, 15 Ogos 2008

Rumah uzur dua keluarga siap dibaiki

SEREMBAN: Hasil sokongan orang ramai yang menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit dan tenaga, dua keluarga miskin di Kampung Paroi, dekat sini, kini memperoleh kediaman lebih selesa apabila projek membaiki rumah mereka yang uzur siap dilaksanakan.

Dua keluarga terbabit ialah pasangan Yahya Arshad, 34, dan isterinya, Azizah Puteh, 43, bersama tujuh anak mereka berusia antara sembilan hingga 22 tahun dan Halalijah Jamal, 48.

Azizah yang ditemui mengucapkan syukur kerana ada pihak sudi membantunya membaik pulih rumah yang uzur itu bagi membolehkan keluarganya menikmati keselesaan kerana suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori dan memperoleh pendapatan tidak tetap, tidak mampu menyediakan kediaman lebih baik.

Menurutnya, sebelum ini bahagian depan rumah pusaka itu tidak boleh diduduki kerana struktur kediaman itu reput dan ahli keluarganya hanya menggunakan bahagian dapur untuk berteduh.

“Rumah ini pusaka bapa saya dan keadaannya uzur kerana pernah beberapa dilanda banjir kilat hingga merosakkan sebahagian besar strukturnya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Azizah antara dua daripada empat keluarga miskin di Paroi yang terbabit dalam pakej bantuan kebajikan pembinaan kediaman oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani dengan setiap rumah membabitkan peruntukan antara RM5,000 hinggga RM8,000.

Bagi Halalijah pula, dia berterima kasih kepada Mohd Taufek yang berusaha melaksanakan kerja membaik pulih bahagian dapur rumahnya yang hampir runtuh sebelum ini.

Dia yang tidak bekerja dan menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi selain rabun warna kini menetap bersama suaminya berusia 70 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan dan dua anaknya berusia 14 dan 17 tahun.

“Saya rasa terharu kerana ada pihak yang sudi membantu membaik pulih kediaman yang saya duduki ini sejak lebih 10 tahun,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20080815092136/Article/index_html

Rabu, 13 Ogos 2008

PAS Rembau rayu bantu ibu miskin baiki rumah

PAS Kawasan Rembau menyeru kepada mereka yang prihatin dan berkemampuan untuk membantu Puan Norehan di Kampung Senama Hilir untuk membaiki rumahnya yang terlalu uzur. Setelah kisah keluarga Puan Norehan tersiar dalam akhbar Sinar Harian, PAS Kawasan Rembau telah menghantar Penyelaras DUN Chembong Saudara Izam untuk melawat keluarga tersebut.

Menurut Saudara Izam antara yang rosak teruk dan berada dalam keadaan kritikal ialah bahagian atap dapur yang bocor, bilik air, tandas serta tangki kumbahan. Menurut beliau anggaran baik pulih rumah tersebut ialah sekitar RM 7,000 termasuk bahan dan upah.

Justeru itu mereka yang ingin menyumbang bolehlah menghubungi Tn Hj Roni , Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Rembau 012-2268230 atau Saudara Rozmal Malakan Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Rembau 012-2267406. Sumbangan boleh juga disalurkan melalui Akaun Bank Islam atas nama DEWAN PEMUDA PAS KAW REMBAU, No Akaun 05012010065457.

Semoga keluarga ini akan dapat menduduki rumah yang sedikit selesa menjelang Ramadhan Al Mubarak yang bakal menjelang.

**********************************
Ibu miskin di Rembau rayu rumah dibaiki
Sinar Harian
REMBAU - Seorang ibu miskin yang ketiga-tiga anaknya berdaftar di bawah Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Negeri Sembilan (Peyakin) merayu kepada pihak terbabit agar segera membaik pulih rumahnya yang uzur di Kampung Senama Hilir.

Berita lanjut di http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story1838709.asp

Ibu miskin di Rembau rayu rumah dibaiki

Sinar Harian
REMBAU - Seorang ibu miskin yang ketiga-tiga anaknya berdaftar di bawah Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Negeri Sembilan (Peyakin) merayu kepada pihak terbabit agar segera membaik pulih rumahnya yang uzur di Kampung Senama Hilir.

Norehan Kasim, 28 yang menetap di rumah pusaka tinggalan arwah nenek, Maimunah Jamaludin, kini tinggal bersama suami yang bekerja sebagai pemandu lori dan tiga anak perempuan yang masih kecil sejak setahun lalu.

Menurut Norehan, sebelum Maimunah meninggal dunia pada bulan 9 tahun lepas, arwah pernah memohon kepada ketua kampung sekitar tahun 2006 untuk membaiki atap, dinding rumah yang telah uzur.

Permohonan Maimunah bagaimanapun dipandang sepi walaupun sudah setahun dia meninggal dunia.

“Saya pernah merujuk kembali kepada ketua kampung akan hal ini, sama ada perlu menukar borang kerana dahulu nenek yang memohon, tetapi setelah nenek meninggal kemungkinan perlu diisi borang baru. Saya diberitahu, tidak perlu mengisi borang baru sebaliknya perlu menunggu dengan sabar,” katanya.

Jelasnya, empat bulan lalu, ketua kampung bersama kontraktor pernah datang ke rumahnya untuk mengukur bahagian rumah yang perlu dibaiki dan berjanji permohonan arwah nenek akan diluluskan dalam tempoh terdekat.

“Bagaimanapun hingga kini kami masih belum menerima sebarang berita. Beberapa hari lalu saya ada berjumpa dengan ketua kampung tetapi sikap yang ditunjukkannya amat dikesali. Dia mengherdik dan meminta saya pergi sendiri ke pejabat wakil rakyat untuk menyelesaikan perkara itu.

“Saya kecewa dengan sikapnya kerana bagi saya sebagai ketua kampung, dia seharusnya membantu saya mengetengahkan masalah ini kepada wakil rakyat, tetapi saya pula yang dimarahi.

“Sudah 2 tahun, saya menunggu permohonan ini. Saya hanya seorang suri rumah dan pendapatan suami tidak cukup untuk menampung kos pembaikan rumah. Sampai bila saya harus bersabar sedangkan rumah ini makin hari semakin uzur dan membahayakan anak-anak. Saya benar-benar berharap permohonan tersebut disegerakan,” rayunya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan rumah berusia lebih 40 tahun ini sudah uzur dan banyak yang perlu dibaiki terutama bahagian dapur yang reput kerana masih lagi menggunakan zink sebagai dinding.

Selain itu, lantai kayu juga sudah dimakan anai-anai.

Norehan menjelaskan pernah memohon Rumah Mesra Rakyat tetapi masalah lain timbul ekoran tanah adat tersebut mempunyai tiga penama dan salah seorang daripadanya gagal dikesan.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story1838709.asp

Selasa, 12 Ogos 2008

Keluarga daif diami rumah baru lebih selesa

Sinar Harian. PAROI – Keluarga Yahaya Arshad, 34, kini dapat menikmati kehidupan lebih selesa di Kampung Paroi di sini, setelah kediaman usang mereka siap dibaik pulih dan sedia untuk diduduki.

Terdahulu Sinar Harian memaparkan kisah keluarga Yahaya yang hidup serba kekurangan dengan kediaman tidak sempurna dan usang serta tidak mampu menampung kos sara hidup keluarga berikutan bilangan ahli keluarga yang ramai.

Isteri Yahaya, Azizah 43, yang ditemui di rumah barunya berkata, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Paroi, Taufek Abdul Ghani yang sudi membantu memberi sumbangan untuk membaiki rumah dan menyalurkan bantuan kepada keluarganya.

“Sebelum ini kami sekeluarga hanya menggunakan bahagian bawah rumah memandangkan bahagian atas rumah sudah tidak boleh didiami kerana terlalu usang dan membahayakan.

“Jadi dengan terbinanya semula rumah ini dan bahagian atas dibaik pulih, saya rasa ia memberi sinar baru dan hadiah bagi kami sekeluarga sempena menyambut kedatangan Ramadhan dengan lebih sempurna,” katanya.

Sementara itu, Taufek Abdul Ghani, berkata, pembinaan rumah ini hanya memakan masa tiga minggu.

“Memadailah dengan peruntukan minimum RM5,000. Sedikit sebanyak ia dapat membantu membaiki rumah keluarga Yahaya.

“Saya harapkan keluarga ini dapat menikmati kehidupan dalam suasana yang lebih selesa dari sebelumnya kerana mungkin inilah kehidupan yang mereka harap-harapkan selama ini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story1834480.asp

Isnin, 4 Ogos 2008

Keluarga daif bakal tinggal di rumah selesa di Paroi

Sinar Harian. PAROI – Yahaya Arshad, 34, akan memperoleh kehidupan yang lebih sempurna bersama keluarganya yang tinggal di Kampung Paroi, apabila kediamannya kini akan berubah wajah.

Menurut Yahaya, yang bekerja sebagai pemandu lori, selama ini kehidupannya sekeluarga berada dalam serba kekurangan di mana tempat tinggalnya yang sangat uzur tidak dapat menampung ahli keluarga yang ramai.

“Ini adalah tanah pusaka ibu mertua saya, namun kami tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk memperbaiki rumah ini memandangkan saya dan isteri hanya mampu meraih pendapatan yang sekadar cukup makan ahli keluarga sahaja.

“Dengan adanya bantuan daripada pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Paroi, Taufek Abdul Ghani, yang akan mendirikan semula rumah ini akan memberi sinar baru bagi diri saya dan keluarga dalam menjalani kehidupan dengan yang lebih sempurna,” katanya.

Sementara itu, Taufek yang turut turun ke padang melihat keluarga Yahaya mengulas, di kawasan Paroi ini terdapat empat buah rumah yang dikenal pasti akan mendapat bantuan secepat mungkin.

“Bagi kediaman ini, saya mendapati bahagian atas kawasan rumahnya berada dalam keadaan yang kritikal dan perlu dibaiki dengan segera.

“Selama ini, keluarga Yahya hanya mempunyai satu bilik yang akan seramai sembilan orang ahli keluarga.

“Oleh itu, saya memandang serius akan hal ini bagi mengembalikan kegembiraan keluarga Yahaya menjelang kedatangan Ramadhan tidak lama lagi.

“Saya berharap agar ada pihak lain yang akan membantu keluarga ini sama ada dari segi keperluan dan kemudahan yang lain memandangkan faktor kesihatan pasangan ini juga berada pada tahap tidak mengizinkan.

“Sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian di nombor akaun Pas DUN Paroi, 05012010063902 (BIMB),” jelasnya lagi.

Yahaya menerima bantuan pembaikan rumah kediaman daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Paroi, Taufek Abdul Ghani.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story1806309.asp

Penduduk Lavender Heights diancam jenayah pecah rumah

(Lavender Heights terletak dalam Parlimen Rembau, DUN Paroi)
Utusan Malaysia. SEREMBAN 3 Ogos - Penduduk di taman perumahan Lavender Heights di sini, sudah bosan dengan kejadian pecah rumah dan samun yang kerap berlaku dan meminta pemaju serta pihak berkuasa segera menanganinya.

Timbalan Pengerusi Rukun Tetangga (RT) Lavender Heights, Zul Iskandar Mohd. Salleh, 38, berkata, minggu lalu sahaja empat kejadian cubaan pecah rumah dan satu samun bersenjata berlaku di taman perumahan itu.

''Dalam kes samun bersenjata, mangsa kerugian wang tunai dan barangan berjumlah RM25,000. Kejadian ini semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui bersama-sama lebih 30 penduduk mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan semak berhampiran pagar di Jalan Lavender Heights 24, yang menjadi tumpuan penjenayah untuk memboloskan diri kerana ia hampir dengan Jalan Seremban-Kuala Pilah.

''Banyak pagar yang sudah dipotong dan lebih malang lagi laluan ini tidak mempunyai lampu jalan sehingga memudahkan penjenayah ini masuk dan keluar tanpa dapat dikesan," ujarnya.

Taman perumahan ini mempunyai 1,000 unit rumah melibatkan 4,000 penduduk iaitu 80 peratus merupakan kaum Melayu dan selebihnya ialah kaum Cina, India dan lain-lain.

''Kita mempunyai RT yang mengawasi Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3, selain pihak pemaju menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan di pintu masuk utama.

''Kini rondaan di 'kawasan merah' terutamanya di Fasa 3 akan dipergiatkan kerana kedudukannya yang strategik bagi kegiatan jenayah serta mengambil kira keutamaan nyawa penduduk," ujarnya.

Zul Iskandar turut menjelaskan dalam menyelesaikan kebimbangan itu, penduduk, pemaju dan pihak berkuasa perlu memainkan peranan bersepadu bagi mengatasinya.

''Hari ini penduduk tidak memberikan kerjasama yang baik dan cuma 30 peratus sahaja yang hendak hidup bermasyarakat, selebihnya membuat hal masing- masing.

''Pemaju pula tidak prihatin dan telah banyak kali mesyuarat diadakan termasuklah cadangan pemasangan lampu jalan di situ. Pemasangan pagar dawai ini juga dibuat selepas beberapa kali didesak," katanya.

Sementara itu, mangsa rompak bersenjata di taman berkenaan, Abdul Rashid Yusof, 50, berkata, semalam pun alat penggera di rumahnya berbunyi pada pukul 2.30 pagi.

''Saya rasa tidak selamat untuk duduk di kawasan ini, apatah lagi pernah didatangi tiga lelaki warga asing yang mengetuk pintu dan terus menyamun dengan senjata tajam.

''Lagi satu, modus operandi mereka menggunakan tong gas yang diangkat dan dihentakkan ke pintu sebelum ia pecah. Kejadian itu kebanyakannya berlaku semasa penghuni tiada di rumah," katanya.

Abdul Rashid meminta supaya rondaan lebih kerap dibuat oleh pihak berkuasa, selain dilakukan oleh RT dan pengawal keselamatan agar penjenayah itu dapat diberkas.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm

Jumaat, 1 Ogos 2008

Ranting kayu bertaburan atas jalan Seremban-Tampin

Sinar Harian. RAHANG – Orang awam yang menggunakan laluan jalan Seremban-Tampin gusar dengan ranting-ranting kering yang jatuh di sepanjang jalan tersebut dan boleh membahayakan pengguna, khususnya penunggang motosikal.

Norhayati Nordin berkata, dia pernah melihat seorang penunggang motosikal hampir terbabas ketika cuba mengelak daripada terlanggar ranting-ranting kering itu.

“Ranting kering berkenaan jatuh bertaburan di atas jalan raya dan boleh mengundang kecelakaan kepada pengguna,” ujarnya.

Katanya, pihak berwajib tidak boleh memandang remeh perkara terbabit dan perlu membuat selenggaraan dengan memotong dahan dan ranting yang sudah mati.

“Jika ranting kayu itu dipotong, pengguna jalan raya akan lebih selesa dan saya harap pihak berkenaan memberi perhatian serius kepada perkara ini.

“Jika ada pegawai-pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan Jalan Seremban-Tampin ini, cubalah lihat di sepanjang jalan ini untuk mengetahui keadaan sebenar,” katanya.

Norhayati berkata, PBT perlu segera bertindak bagi memberi keselesaan penunggang serta pemandu yang menggunakan jalan tersebut.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story1798312.asp