Assalamualaikum dan salam sejahtera ,
Kepada semua pengundi dan bukan pengundi di Parlimen Rembau ,
Mungkin ada antara kita yang tertunggu-tunggu pengumuman tarikh Pilihanraya Umum ke 12 , mungkin juga ada antara kita yang tidak ambil kisah akan proses pilihanraya di Malaysia khususnya di kawasan Parlimen Rembau ini.
Sepertimana yang kita ketahui Parlimen P 131 Rembau terdapat di dalamnya empat kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu N25 Paroi , N26 Chembong , N27 Rantau dan N28 Kota.
Kepada mereka yang telah mendaftarkan diri sebagai pengundi , pastikan nama anda tersenarai dalam Daftar Pemilih yang terkini. Kepada mereka yang belum mendaftarkan diri sebagai pengundi, daftarlah dengan segera, agar kita dapat mengundi pada pilihanraya yang akan datang. Ini adalah merupakan hak kita untuk menentukan siapa yang akan menyuarakan suara kita di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri Sembilan. Anggaplah ianya juga sebagai satu tanggungjawab serta amanah kita sebagai warganegara Malaysia di Rembau ini.
Kami mengharapkan sepanjang tempoh menjelang pilihanraya ini, hari penamaan calon, tempoh berkempen serta hari pembuangan undi dan seterusnya pengumuman keputusan pilihanraya nanti agar dapat dikekalkan semangat keharmonian antara ahli, petugas serta penyokong semua parti yang bertanding, baik kawan atau lawan. Anggaplah pertandingan merebut kerusi Parlimen dan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri di Rembau ini sebagai satu pertandingan yang menarik, bersih serta ceria. Sepertimana dalam mana-mana pertandingan sukan kita mengamalkan semangat kesukanan , maka dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen dan DUN ini amalkanlah semangat pilihanraya yang sihat.
Kepada calon-calon yang akan bertanding di Rembau ini iaitu dari PAS, PKR dan UMNO, ikhlaskan niat anda untuk bertanding. Sekiranya anda memenangi pilihanraya nanti , anda akan memikul satu amanah yang amat berat. Anda mewakili suara bukan sahaja pengundi yang telah mengundi anda, malah anda mewakili suara setiap penduduk di kawasan anda, dari yang baru lahir sehinggalah mereka yang menghadapi saat kematian tanpa mengira batasan kaum, bangsa, agama dan fahaman politik. Anda akan dipersoalkan di akhirat nanti akan suara setiap rakyat yang anda wakili di kawasan anda.
Kepada pengundi-pengundi semua, kenalilah calon-calon yang akan bertanding di kawasan anda baik dari parti PAS, PKR mahu pun UMNO. Setiap seorang daripada mereka akan ada kelebihannya dan akan ada kekurangannya. Kelebihan mereka itu jadikanlah ikutan, kelemahan mereka itu janganlah diperbesarkan. Tegurlah dengan cara terbaik setiap kesilapan dan kelemahan mereka.
Kepada petugas-petugas dan penyokong-penyokong PAS semua, berusahalah bersungguh-sungguh untuk membuka jalan-jalan kemenangan untuk calon-calon kita yang akan bertanding di parlimen Rembau ini, termasuk rakan kita dari Parti Keadilan Rakyat. Berilah sumbangan anda dengan apa cara jua sekali pun baik dalam bentuk tenaga, kewangan, logistik, pandangan juga yang paling penting ialah doa. Kemenangan calon-calon kita bukan hanya kemenangan untuk parti , tetapi ianya adalah kemenangan untuk semua penduduk di Parlimen Rembau ini.
PAS Kawasan Rembau akan membariskan calon-calon dari pelbagai latar belakang. Keutamaan PAS Kawasan Rembau ialah kepada calon-calon yang sanggup turun padang mendengar rintihan rakyat dan yang dapat menyuarakan rintihan mereka di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sembilan dengan cara yang terbaik. Calon-calon kita juga akan disokong oleh petugas-petugas dari pelbagai latar belakang, professional, ulamak, suri rumah, buruh, peladang, penoreh getah, peniaga, penganggur dan sebagainya, kerana tanpa petugas-petugas yang sebegini, calon-calon kita tidak akan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat walaupun mereka dari golongan berpendidikan tinggi.
Semoga Parlimen Rembau, DUN Paroi , Chembong , Rantau dan Kota akan diwakili oleh Ahli Parlimen dan Wakil Rakyat yang berhati dan berjiwa rakyat.
Selamat Menunaikan Tanggungjawab Anda Sebagai Pengundi
“Ke Arah Masyarakat Penyayang dan Berilmu”Yang menjalankan amanah,
Rozmal bin MalakanPemangku Yang DiPertua PAS Kawasan Rembau